Bismillahirrahmanirrahim
Anda pernah dengar nama ‘Natrah’ sebelum ini?
Gadis berketurunan Belanda ini telah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia pada 24hb Mac 1937 dan beliau telah diberikan nama sebagai Maria Hertogh atau Bertha Hertogh.
Pada bulan Disember 1942, Bertha Hertogh yang berumur 5 tahun pada ketika itu telah diserahkan kepada ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad untuk dipelihara . Ibu kandungnya Adeline dan neneknya Nor Louisenya telah menyerahkan Bertha kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana bapanya telah ditawan oleh tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad adalah merupakan seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Bertha Hertogh telah diberikan nama Natrah dan terus dibesarkan di dalam suasana kehidupan dan pendidikan Islam. Che Aminah membawanya balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu pada 15hb November 1945 melalui Singapura kerana masyarakat di Indonesia pada ketika itu sangat membenci orang kulit putih yang telah menjajah Indonesia.
Bapa Natrah, Sarjan Hertogh kemudiannya dibebaskan pada 1945 selepas Hiroshima dan Nagasaki hancur dibom Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Natrah telah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu pada September 1949, sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
Pada bulan April 1950, Che Aminah telah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh yang kemudiannya membawa kes tersebut ke mahlamah. Dalam perbicaraan yang pertama, Ketua Hakim Mahkamah telah mengarahkan agar Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura mulai 22 Mei 1950.
Manakala pada perbicaraan ke dua bertarikh 19 Mei 1950, peguambela Encik Ahmad Ibrahim telah berhujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. (Allahyarham Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura).
Dikhuatiri peristiwa yang menakutkan ini akan berulang, maka Natrah telah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung pada 1hb Ogos 1950 di Singapura.
Di perbicaraan seterusnya pada 2 Disember 1950, Ketua Hakim telah mengeluarkan perintah yang ke 3 untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Dalam kes ini, mahkamah mengakui bahawa Natrah telah secara rela dan tanpa dipaksa oleh sesiapa berhendak meneruskan kehidupannya sebagai seorang Muslim.
Mahkamah kemudiannya telah memutuskan bahawa, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah pula tidak menyebut ‘ibubapa’ tetapi ‘penjaga’nya. Secara mendadak, tiba-tiba isu ini bertukar daripada isu agama kepada isu hak jagaan.
Hakim memberikan keputusan pada 12hb Disember 1950 bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda dan seterusnya menjadi seorang penganut Katholik.
Dari hari ke hari, isu ini menjadi semakin panas dan masyarakat Islam di Nusantara mengikuti perkembangan ini dengan begitu rapat sekali. Ianya menjadi semakin rumit sehingga mencetuskan satu rusuhan yang besar yang pernah berlaku di Tanah Melayu dan lebih khususnya di negara jiran iaitu Singapura pada tahun 1950 ini. Bahkan ada di kalangan umat Islam di Karachi, Pakistan juga yang telah mengadakan prores kerana bersimpati dengan nasib dan masa depan Natrah.
Umat Islam di Nusantara terutamanya di Tanah Melayu dan Singapura bangkit dek kepanasan bagi menentang usaha dan cubaan pihak tertentu untuk melari dan memurtadkan Natrah. Rusuhan ini telah menyaksikan seramai 18 orang terbunuh dan 173 orang lagi telah cedera. Malahan Singapura juga telah dikenakan perintah berkurung selama dua hari.
Itulah harga aqidah di mata umat Islam pada tahun 1950.
Aqidah seorang yang bernama Natrah bukanlah satu barang murahan yang boleh dilelong atau dijual-beli malahan ianya begitu berharga sekali. Sekalipun umat Islam di Tanah Melayu masih dijajah British namun jiwa mereka masih merdeka untuk bangkit bersama di atas isu perdana umat iaitu isu aqidah.
Kalau dahulunya, Tanah Melayu dan Singapura digemparkan dengan seorang Natrah. Namun kini ratusan dan malahan ribuan Natrah tidak lagi membekaskepada jutaan hati umat Islam di rantau ini.
Biarpun kita mungkin mempunyai pandangan dan kaedah bekerja yang berbeza, namun sensitiviti umat Islam dengan agamanya jangan sekali-kali dibiarkan luntur.
Natrah….oh Natrah….
Biarpun kita punyai sejuta wajah, pastikan umat terus punyai satu aqidah….
* Dr Zainur Rashid juga merupakan Perunding Aman Palestin & Naib Presiden 1 I-Medik.
Taken from here: http://www.ismaweb.net/v4/2011/10/natrah%E2%80%A6-oh-natrah/
No comments:
Post a Comment